petikan ES |
KUALA LUMPUR: Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya menjalankan satu pembedahan memulihkan penglihatan seorang bekas anggota polis melalui pembedahan Osteo-Odonto Keratoprosthesis (OOKP).
Pakar Perunding Bedah Mulut dan Maksilofasial PPUKM, Prof Madya Dr Roszalina Ramli, berkata pembedahan itu adalah yang pertama di Malaysia dan membuktikan pakar perubatan tempatan mampu bersaing dengan pakar lain di dunia.
Dr Roszalina berkata, hanya 10 hingga 15 kumpulan pakar seluruh dunia berjaya melakukan operasi pembedahan OOKP itu kerana ia berisiko tinggi.
“Pembedahan OOKP ini kita lakukan dua peringkat dengan peringkat pertama dilaksanakan pada Januari, manakala peringkat kedua pada April lalu.
“Bagi peringkat pertama, kita mengeluarkan gigi pesakit paling sihat dan bentukkan gigi itu dengan bentuk tertentu sebelum memasukkan kanta di tengah gigi terbabit.
“Bersama gigi itu, kita turut mengeluarkan tisu tulang bersama tisu penyokong lain dan menyimpannya pada kiri mata yang tidak berfungsi kerana tidak mahu sebarang gangguan di sebelah kanan mata yang ingin dibedah,” katanya pada sidang media kejayaan pembedahan itu di PPUKM, di sini, semalam.
Turut hadir Pakar Perunding Kanan PPUKM, Prof Dr Raymond Azman Ali; Pakar Perunding Oftalmologi PPUKM, Dr Then Kong Yong, dan pesakit yang menjalani pembedahan itu, Lans Koperal Dunya Enchana.
Katanya, pada peringkat kedua pembedahan, gigi yang disimpan pada bahagian kiri mata dikeluarkan manakala bahagian dalam pipi diambil bagi mengganti selaput mata putih dan akan ditanam dengan gigi serta kanta pada kanan mata.
Bagi Dunya, operasi itu memberi sinar baru dalam hidupnya selepas disimbah asid pada Ogos 2006 oleh remaja yang berdendam dengan rakan setugasnya ketika ditahan akibat mencuri.
Beliau yang berasal dari Miri berkata, akibat kejadian itu kedua matanya menjadi buta sehingga menyukarkan pergerakannya dan terpaksa bergantung kepada isteri dan anak tunggalnya untuk menjalani kehidupan seharian.
“Saya bersyukur kerana akhirnya boleh melihat kembali setelah mendapatkan rawatan di lebih lima buah hospital seluruh negara. Selepas pembedahan ini, saya boleh melihat semula dan tidak memerlukan bantuan untuk berjalan atau menguruskan diri,” katanya.
Sumber Maklumat: Utusan Malaysia (http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/dasar-keselamatan/1676-ukm-rintis-sejarah-bedah-buta-kornea.html)
No comments:
Post a Comment