Wednesday, March 30, 2011

Saya dan dunia kanak-kanak

 
 Nyanyikan lagu gembira untuk anak anda

Semakin banyak manusia salah parking perihal kanak-kanak. Jika dahulu kanak-kanak dilayan dengan baik dan cerdik. Jika dahulu kanak-kanak diberi kasih sayang yang sempurna.

Adakah kerana hanya dengan gelaran kanak-kanak kita boleh berlaku zalim kepada mereka?

Letakkan kanak-kanak pada tempat mereka. Kasihi mereka dan jangan abaikan mereka.

Apakah perkara yang membuatkan kanak-kanak gembira? adakah dengan memberi mereka gula-gula manis? ataupun dengan memberi kasih sayang yang disaluti perasaan yang gembira?
 
Dunia kanak-kanak adalah kenangan yang paling indah kepada setiap manusia. Di dalam dunia itulah kita berjaya mencipta alam yang bahagia, alam yang tidak mampu orang lain menembusinya. Secara tidak sedar dunia itu hadir kepada kita walaupun tidak pernah pun kita pinta.

Saya bagi suatu contoh, semasa saya kecil, perkara yang paling dipercayai apabila menanam cebisan pensil yang diasah ke dalam tanah maka duit akan terhasil. Tunggu punya tunggu yang keluar adalah tanah. Tetapi saya tetap percaya cebisan itu akan bertukar menjadi wang. Saya sebarkan pada kawan-kawan tentang kelebihan cebisan pensil itu hinggakan kembar saya pun terpengaruh. Entahkan berapa banyak pensil kami asah. Maaf ya kawan-kawan jika pensil kamu kami asahkan sekali.

Sampai satu tahap, saya tanam bersama pensilnya sekali. Tentulah saya mengharapkan hasil yang lebih banyak, manalah tahu yang keluar adalah RM1. Masa itu jumlah wang tersebut cukup besar hinggakan saya berangan untuk membeli patung doraemon yang besar. Sememangnya itulah antara dunia kanak-kanak yang saya suka. Teringatkan perkara ini membuatkan saya ketawa besar.

Betul, dunia kanak-kanak yang indah akan membuatkan kita kembali kepada zaman kanak-kanak kita yang indah. Kita akan ingat setiap patah perkataan yang kita ungkapkan dahulu. Jika kita mempunyai pengalaman yang gembira pastinya akan terbit keyakinan dalam diri. Yakin kita pada masa itu membuatkan kita rasa bersyukur, kenangan itu rupanya kenangan yang mampu mengubah diri kita.

Semasa saya darjah empat saya menang hadiah kotak pensil daripada guru bahasa Inggeris. Cikgu bertanya, ada sesiapa yang boleh jawab apa makna present? saya dengan pantas menjawab, present itu hadiah. Cikgu kemudian beri penghargaan pada saya dengan menghadiahkan satu kotak pensil biru yang cantik. Saya amat bangga pada masa itu hingga satu kelas tepuk tangan kepada saya. Saya malu tetapi amat gembira.

Kenangan ini saya simpan hingga sekarang namun tak mungkin akan  lupakan sampai mati. Terima kasih Cikgu Zaini.

Hebat bukan dunia kanak-kanak? kita akan ingati sehinggakan apabila melihat sesuatu perkara yang ada kaitan dengan dunia kanak-kanak kita akan menghargai serta tersenyum riang. Sekarang pun saya asyik senyum maklumlah saya nampak pensil di sebelah saya. Susahnya mahu berhenti senyum. Ada yang nampak saya senyum?

Sebenarnya kenangan itu bukan saya cipta sendiri. Saya dapat daripada seorang guru yang mungkin secara tidak sengaja mahu menghadiahkan kenangan itu. Saya yakin Cikgu Zaini tiada perancangan untuk saya ingati dia walaupun  saya sudah berumur 25 tahun. Sekali lagi kepada Cikgu Zaini saya sedekahkan senyum saya dan ucapkan terima kasih.

Pada saya kasih sayang ini adalah secara tidak langsung meresapi hati dan membuatkan saya amat menghargai kanak-kanak. Saya yakin jika perkara ini dipraktikkan oleh semua manusia maka akan mewangilah dunia kanak-kanak dengan semangat yang berbunga-bunga.

Guru akan menghargai pelajar.

Pelajar akan ingat.

Ibu bapa akan menyayangi anak.

Anak akan ingat.

Inilah dunia kanak-kanak yang dimahukan mereka. Pagi tadi saya ke Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak Sungai Buloh, saya lihat mereka ini seperti diri saya kira-kira 15 tahun lalu.

Seronok melihat gelagat pelajar Sekolah Kebangsaan merbau sempak sg Buloh, ada yang minta gambarnya diambil, ada yang minta dirinya masuk dalam majalah tak kurang juga ada yang cuba menarik perhatian supaya dirinya diambil kisah. Itulah dunia kanak-kanak, sangat perlukan kasih sayang. Berilah mereka kasih sayang, mereka akan beri rindu dan kenangan hingga mengalir air mata.

Saya amat rindukan dunia kanak-kanak saya.

Saya tahu ia tidak akan dapat dikembalikan.

Tetapi hari ini saya kembalikan kepada kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...