Wafa ada di Asuh |
Esok bertarikh 1 Ramadan 1433 Hijriah. Semua wajah-wajah di dalam rumah kelihatan ceria. Hanya Wafa seorang yang terpinga-pinga. Dia masih kurang mengerti mengapa perlu gembira.
“Abi, mengapa kita mesti gembira jika esok bermulanya Ramadan?” tanya Wafa kepada abinya yang sedang menonton televisyen.
“Mestilah gembira. Bulan Ramadan banyak ganjarannya. Terutama bagi orang-orang yang berpuasa,” kata Encik Zainal sambil tersenyum.
“Wafa masih ingat apa maksud Ramadan?” soal Encik Zainal.
“Err..sudah lupa abi,” kata Wafa sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Ramadan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi hamba-hamba-Nya. Jika ibadah yang dilakukan ikhlas kerana Allah, kita akan mendapat ganjaran pahala serta syurga.
“Semua orang pasti gembira dengan kehadiran Ramadan. Kita tidak sabar ingin berlumba-lumba mengutip pelbagai ganjaran yang disediakan,” jelas Encik Zainal panjang lebar.
“Tetapi abi, kita tidak boleh makan dan minum di siang hari, lapar dan hausnya...” Wafa memegang lehernya dan menjelirkan lidah sambil menunjukkan aksi orang yang kehausan.
“Begitulah Allah ingin menguji kesabaran hamba-hamba-Nya sayang...menahan lapar dan dahaga itu adalah ibadah juga,” Puan Hamidah pula menyampuk.
“Jadi, esok Wafa pun kena puasa jugalah ya, ummi?”
“Mestilah...tetapi bukan sepeti tahun-tahun lepas lagi. Kali ini Wafa kena puasa penuh satu hari. Wafa pun dah berusia lapan tahun sekarang. Sudah besar...” Puan Hamidah mengenyitkan mata ke arah anak bongsunya itu.
Wafa memuncungkan bibirnya.
Puan Hamidah tersenyum melihat telatah Wafa yang manja.
Hari Pertama Puasa
Wafa terbaring di atas sofa sambil menonton rancangan kegemarannya, Haiwan Tauladan. Sesekali iklan makanan segera muncul. Wafa mula merasa lapar dan dahaga. Perutnya sudah mula berkeroncong. Wafa menjeling ke arah jam di dinding. Baru jam 11.30 pagi.
Wafa bingkas bangun menuju ke dapur.
“Ummi, Wafa puasa separuh hari saja ya,” rengek Wafa kepada Puan Hamidah yang sedang mengemas dapur.
“Sabarlah sayang...lagi separuh hari sahaja. Wafa tidurlah dahulu jika tidak tahan,” ujar umminya.
Wafa berjalan pula ke bilik kakaknya, Amni. Kelihatan Amni sedang membaca novel bertajuk Eee..Sayur.
“Kakak, mengapa kakak membaca buku sayur? Wafa rasa lapar hendak makan Coslow pula,” Wafa menyendengkan tubuhnya ke sebelah tubuh Amni.
“Hehe...ada-ada saja Wafa ini. Nanti masa berbuka bolehlah makan,” Amni tertawa kecil dengan kerenah adiknya.
Setelah bosan mengusik kakaknya, Wafa menuju pula ke bilik abangnya, Azmi. Azmi sedang bermain permainan video. Permainan itu pula tentang kepantasan menyediakan burger kepada pelanggan. Kelihatan seorang kartun lelaki sedang menyusun roti, keju, daging, timun, tomato dan salad supaya ia menjadi sebiji burger.
“Abang! Bukankah abang sedang berpuasa? Mana boleh bermain permainan yang menunjukkan makanan,” jerit kecil Wafa kepada Azmi.
Terkejut Azmi. Lantas dia menekan butang pause.
“Mengapa pula tidak boleh, Wafa? Bukannya kita makan makanan itu,” jawab Azmi sambil menarik Wafa ke atas ribanya.
“Mana boleh. Nanti kita jadi lapar. Silap-silap kita buka puasa,” kata Wafa lagi.
“Hehe...orang yang takut kepada Allah tidak akan berbuat begitu. Wafa pula?” balas Azmi sambil mencuit pipi gebu Wafa.
“Wafa pun takut Allah...” lembut sahaja tutur kata Wafa sambil kepalanya ditunduk perlahan.
“Bagusnya adik abang ini...” Azmi memuji Wafa supaya dia lebih bersemangat meneruskan puasanya. Wafa tersenyum lebar tanda bangga.
Tiba-tiba kedengaran bunyi sebuah muzik yang tidak asing lagi dari luar rumah.
Mat Kool, Mat Kool, kawanku...mari kita ikut, Mat Kool...main-main selalu...syoknya, syoknya ada Mat Kool...
Wafa mulai seperti cacing kepanasan. Bingkas Wafa bangun seperti ingin mengejar bas sekolah yang ingin meninggalkannya.
“Wafa, mahu kemana itu?” Azmi pantas menyoal.
“Itu! Pakcik penjual ais krim Mat Kool sudah datang. Wafa mahu beli aiskrim!”
“Eh, Bukankah Wafa sedang berpuasa? Tidak ingatkah?” kata Azmi lagi sambil menarik lengan Wafa.
“Alamak...” Wafa menepuk dahinya. Cepat benar dia terlupa. Ajaib benar penangan lagu tema ais krim Mat Kool itu pada dirinya.
Memang begitulah reaksi Wafa apabila melihat askrim. Aiskrim adalah makanan kesukaan Wafa.
Wafa kemudiannya cuba menghilangkan semua kenangannya pada aiskrim. Aiskrim coklat, strawbery, mangga dan sebagainya terngiang-ngiang di dalam otaknya.
“Lupakan!” Wafa kemudiannya berdoa supaya Allah melupakan makanan itu daripadanya sementara waktu.
Nikmat Berbuka Puasa
Akhirnya waktu ditunggu-tunggu pun tiba. Waktu Maghrib disambut dengan ceria oleh seluruh umat Islam. Encik Zainal, Puan Hamidah, Amni, Azmi dan Wafa sudah siap sedia mengelilingi juadah di meja makan.
“Azmi, bacakan doa berbuka puasa ya,” Encik Zainal bersuara tatkala azan Maghrib mulai berkumandang.
“Baik abi. Allahumma lakasumna wabika amanna waa’la rizkika aftorna birohmatika ya arhamarrohimin...”
Semua mengusap wajah seusai doa dibaca. Wafa meluru pantas mencapai air soya cincau di hadapannya. Dia minum habis segelas dalam sekali harung sahaja.
Semua tersenyum memandang Wafa.
“Hari ini Wafa sudah berjaya berpuasa penuh. Jadi, ummi hadiahkan ais krim Mat Kool perisa coklat vanila kegemaran Wafa. Ummi beli tadi dan simpan di dalam peti sejuk,” kata Puan Hamidah.
“Haa, betulkah ummi? Yeayyyy!!! Terima kasih Ummi!” Wafa benar-benar gembira. Azamnya, mahu terus berpuasa lagi esok dan hari-hari seterusnya.
Bukan kerana ais krim Mat Kool sahaja, tetapi kerana Allah Taala.
No comments:
Post a Comment